Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah mahkamah di barat Turki menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada dua lelaki atas kesalahan membunuh seorang wanita Syria bersama bayinya berusia dua bulan tahun lalu yang disifatkan pembunuhan mengejutkan negara, lapor media hari ini.
Pelarian wanita Syria itu dirogol sebelum dibunuh penyerangnya dengan batu di barat laut wilayah Sakarya hanya beberapa hari sebelum wanita berkenaan dijangka bersalin. Sementara, bayinya dicekik hingga mati.
Dua penjenayah berkenaan didapati bersalah atas kesalahan 'pembunuhan terancang', 'membunuh wanita hamil, 'serangan seksual' dan 'membunuh bayi yang tidak berupaya membela diri', " lapor agensi berita Anadolu yang dikendalikan kerajaan.
Suami wanita malang berkenaan dipetik sebagai berkata, beliau tidak berpuasa hati dengan keputusan mahkamah.
"Mereka yang membunuh kejam isteri serta bayi saya tidak berhak untuk hidup," teriaknya di luar mahkamah sebagaimana dilaporkan akhbar harian Turki, Hurriyet.
Dalam pembelaannya, Birol Karaca yang juga salah seorang penjenayah itu, mengaku memperkosa wanita Syria berkenaan.
"Saya tidak bunuh dia tetapi merogolnya. Tiada apa lagi yang ingin dikatakan lagi dan ini kenyataan bela diri saya," Hurriyet memetiknya sebagai berkata.
Julai tahun lalu, suami wanita itu menghubungi pihak keselamatan Turki selepas gagal menemukan isterinya yang sedang hamil dan bayinya.
Pihak berkuasa Turki menahan dua lelaki yang mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan ngeri itu di negara yang menempatkan lebih tiga juta pelarian perang saudara di Syria.
Turki dipuji kerana menjadi tuan rumah yang memberi layanan baik terhadap pelarian Syria, meskipun ada beberapa insiden keganasan dilakukan ke atas golongan berkenaan. - AFP
16 Januari 2018 - 16:29
News ID: 877727
Sebuah mahkamah di barat Turki menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada dua lelaki atas kesalahan membunuh seorang wanita Syria bersama bayinya berusia dua bulan tahun lalu yang disifatkan pembunuhan mengejutkan negara, lapor media hari ini.